19 NOVEMBER 2013 - 3:00 PM

Ekonomi Selangor berkembang 6.1 % tahun depan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 19 NOV : Ekonomi Selangor dijangka berkembang pada kadar 6.2 peratus tahun ini lebih perlahan berbanding 7.1 peratus yang dicapai pada 2012.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014, berkata unjuran pertumbuhan perlahan itu berdasarkan kelesuan beberapa petunjuk makro utama dan prestasi sederhana bagi statistik beberapa sektor ekonomi di sepanjang tiga suku tahun pertama.

Katanya, momentum ekonomi negeri dijangka tidak banyak berubah pada 2014 berbanding tahun 2013 dengan unjuran pertumbuhan KDNK, pada kadar 6.1 peratus.

khalid songkok dun-2Beliau berkata, sektor pertanian diunjurkan tumbuh lebih perlahan iaitu pada kadar 5.2 peratus tahun ini, berbanding 5.5 peratus pada 2012.

“Namun, sub sektor seperti ternakan, kelapa sawit, perikanan dan pertanian lain dijangka akan terus menyumbang kepada sektor pertanian serta mendorong unjuran pertumbuhan pada kadar 5.1 peratus bagi 2014,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian pula dijangka kekal sebagai peneraju pertumbuhan di kalangan semua sektor ekonomi dengan kadar unjuran 18 peratus bagi tahun 2013 dan 12.5 peratus bagi 2014, berbanding 16.7 peratus bagi 2012 yang diransang dengan aktiviti pembinaan.

“Sub sektor perumahan terutamanya kos rendah dan pertengahan serta projek infrastuktur dijangka akan terus menjana pertumbuhan dwi digit bagi sektor ketiga terbesar negeri Selangor, manakala sektor pembinaan dengan unjuran 10.3 peratus bagi 2013, tetapi perlahan bagi 2014, iaitu pada kadar 9.3 peratus,” katanya.

Manakala, sektor ekonomi terbesar negeri iaitu sektor perkhidmatan diunjurkan pada kadar 6.0 peratus dan 6.1 peratus bagi 2013 dan 2014 yang akan dipacu sub sektor.

“Ia terdiri daripada perkhidmatan kerajaan membabitkan kewangan insurans, hartanah, manakala perkhimatan perniagaan pula adalah perdagangan borong dan runcit, kediaman, restoran serta utiliti, pengangkutan dan komunikasi.

“Bagi sektor pembuatan pula, ia dijangka memuaskan dengan unjuran pertumbuhan 5.5 peratus dan 5.1 peratus bagi 2013 dan 2014,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, pihaknya dalam usaha mengambilalih semua kos prasarana kolej dan universiti milik kerajaan negeri termasuk Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ekoran kelemahan pentadbiran kewangan akibat penyelewengan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, langkah itu diambil supaya pentadbiran universiti dan kolej tidak dibebankan dengan kos infrastuktur tetapi hanya perlu mengurus kos operasi harian supaya institusi dapat menumpukan perhatian kepada penambahbaikan mutu pendidikan, selepas mengambil kira Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012 yang menyentuh berkenan perkara terbabit.

-NFN-