6 JANUARY 2014 - 10:37 AM

Tiga masalah pelaksanaan GST di Malaysia

Oleh Mohd Iqbal Abdul Wahab

IBNU KHALDUN dalam Mukaddimah telah menyebut berkenaan dengan pengenalan cukai terhadap barang-barang di kota yang dikenakan oleh pemerintah sebagai sumber pendapatan dalam negara.

Dengan mengaitkan pernyataan ini, sesungguhnya terdapat persamaan peristiwa yang ditulis oleh ilmuwan terkemuka ini yang berlaku secara lumrahnya dalam sejarah peradaban dengan konteks semasa hari ini.

Usaha kerajaan untuk memperkenalkan Good and Service Tax (GST) atau Value Added Tax (VAT) merupakan salah satu usaha untuk menjana pendapatan negara dengan lebih teratur dan efektif.

Konsep ini telah diperkenalkan oleh Dr Wilhem von Siemens, seorang ahli industri Jerman pada tahun 1918. Perancis merupakan negara yang pertama melaksanakan GST pada  1954. Sehingga kini, sebanyak 146 negara telah melaksanakan GST.

Turun10Selain itu, semua negara di Asean telah melaksanakan GST kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar . Menariknya, Indonesia dan Filipina lebih awal memperkenalkan GST pada tahun 80-an, lebih awal berbanding Singapura pada 1994.

Pengenalan GST melalui pengurusan yang baik akan memberi impak besar kepada pendapatan negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Namun, dalam konteks semasa, apakah GST relevan untuk dilaksanakan sekarang?

Menjawab persoalan ini, terdapat tiga penyataan masalah yang harus diteliti.

Pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST? Kedua, bilakah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST? Ketiga, adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi: antara persepsi dan realiti.

Ketiga-tiga masalah ini harus diperhalusi dalam usaha untuk mengimplimentasi GST secara menyeluruh, malah kajian terperinci harus dilakukan supaya pelaksanaannya mencapai objektif.

Merujuk kepada masalah pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST, Emran dan Stiglitz (2005) mencadangkan bahawa menggantikan VAT bagi cukai yang lebih luas mungkin untuk mengurangkan dan bukannya memperbaiki kebajikan kerana negara membangun seperti Malaysia mempunyai sektor tidak formal yang besar.

Mereka juga berhujah bahawa masalah utama dengan kesusasteraan yang menyokong penggunaan VAT di negara membangun adalah ia mengabaikan bahawa negara-negara ini mempunyai sektor tidak formal yang besar.

rasuahBagi masalah kedua pula, menyentuh mengenai masa sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST, perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuklah penyediaan sistem terancang serta reformasi sikap dalam pengurusan ekonomi dan politik dalam usaha mengurangkan kadar penyelewengan dan rasuah dalam negara yang akan membawa kepada kegagalan pelaksanaan.

Begitu juga, dalam tempoh sekarang, tahap ketersampaian maklumat yang lemah menyebabkan kegagalan masyarakat untuk memahami GST secara komprehensif dan membawa kepada kegagalan pelaksanaan kerana ketidakfahaman.

Masalah ketiga pula mengenai adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi, secara realitinya – menurut Singh (2007), pengenalan GST boleh membawa peningkatan satu masa dalam kos sara hidup,kebarangkalian membawa kepada inflasi yang tidak tinggi.

GST boleh membawa kepada peningkatan dalam harga pengguna pada peringkat awal pelaksanaan tetapi GST tidak akan mempunyai kesan besar ke atas inflasi.

James danZheshi (2004) menegaskan bahawa apabila VAT diperkenalkan di China pada 1994, ia tidak menyebabkan inflasi apa-apa berbanding pembaharuan cukai pada 1994, perubahan yang dicadangkan VAT jauh kurang kompleks.

Adakah Cukai Perkhidmatan dan Barangan akan menjejaskan golongan miskin dan sederhana? Implementasi Cukai Perkhidmatan dan Barangan akan memberikan kesan kepada golongan miskin dan sederhana di Malaysia.

Negara yang lebih membangun seperti Singapura mampu menyerap cukai ini kerana pendapatan yang lebih tinggi. Cukai Perkhidmatan sudah diguna pakai di Britain, India, Hong Kong, Jepun dan Singapura, namun, ia bukan sebab untuk penguatkuasaannya di Malaysia.

Status ekonomi dan cara bagaimana negara tersebut memperoleh pendapatan berbeza dari Malaysia.

gstTiga masalah ini merupakan suatu perkara yang memerlukan tindakan penyelesaian dalam merealisasi GST sebagai instrumen yang merangsang pendapatan negara.

Antara penyelesaian yang harus difikir dan digerakkan ialah meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat berkenaan kepentingan dan pelaksanaan GST, menubuhkan badan bebas dan berkecuali untuk mengkaji kesan menyeluruh terhadap rakyat apabila GST dilaksanakan dan mengkaji tahap penerimaan rakyat pelaksanaan GST dari sudut kesediaan dan kebolehpercayaan.

Tahap penyampaian maklumat seiring dengan pembebasan unsur-unsur negatif dalam pentadbiran dengan penghasilan pengurusan yang telus dan efektif akan mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan dengan rakyat.

Ini kerana rakyat selaku pendukung suara demokrasi yang meletak kepercayaan penuh terhadap kerajaan untuk menguruskan wang yang disalur melalui cukai kepada kerajaan melalui pengurusan telus dan efektif.

Sekurang-kurangnya mereka dapat menilai wang yang disalur itu membawa kehidupan yang lebih baik.

Secara keseluruhan, sistem GST dianggap berkesan kerana ia boleh meningkatkan jumlah hasil kerajaan. Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan satu sistem yang dirancang memandangkan – tanpanya sistem GST yang komprehensif tidak akan tercapai.

Malaysia mestilah terlebih dahulu mencapai status “berpendapatan tinggi” atau high income seperti yang diuar-uar Perdana Menteri. Meningkatkan kadar cukai tanpa meningkatkan pendapatan rakyat hanya membebankan rakyat.

Oleh demikian, kerajaan perlu menangguh pelaksanaan dan mengkaji semula kadar permulaan GST kerana ia pasti akan membebankan pengguna.

Kerajaan harus memfokus isu kenaikan kos sara hidup dan memperkenal langkah khas untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi mengurangkan kesan buruk GST ke atas mereka.

* Mohd Iqbal Abdul Wahab ialah Ketua Bahagian Penyelidikan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)