Tag Archives: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

MB Rasmi Kolokium Penyelidikan Pertama Unisel

SHAH ALAM 2 OKT : Pentadbiran universiti tempatan seharusnya mengutamakan bidang penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan institut pendidikan tinggi tersebut bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Kolokium Penyelidikan Unisel 2012 dan Pelancaran ‘Unisel Researcher-Fren Facebook’ di Kampus Unisel di sini pagi tadi.

“Bukan setakat (menambah) ilmu sahaja, penyelidikan mampu menjana daya pemikiran dan keupayaan intelektual tinggi.

“Kita harus memikirkan nilai sesebuah universiti dari segi hasil yang diperolehi melalui mahasiswa, bukan keuntungan,” jelasnya di hadapan lebih 400 tetamu yang hadir.

Kolokium ini merupakan kali pertama dianjurkan Unisel melibatkan 500 peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan wakil industri.

Kira-kira 100 kertas kerja meliputi empat kluster akan dibentangkan dalam kolokium penyelidikan yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Antaranya kluster Penyelidik Geran Industri, Penyelidik Geran Kerajaan, Penyelidik Pengajian Pasca Siswazah secara penyelidikan serta beberapa penyelidik Unisel yang sedia ada.

Menteri Besar turut menyampaikan sijil kepada sembilan penerima geran penyelidikan iaitu Dr. Mohd Fadzil Shuhaimi Ramli, Ainil Hawa Sazali, Rosyida Mohd Razlan dan Roshani Othman.

Selain mereka, turut menerima geran ialah Prof. Sharr Azni Harmin, Prof. Dr. Mohd Zaidi Mohd Hajazi, Prof Dr. Aziah Mohd Yusoff, Dr. Ting Chek Ming serta Prof. Dr. Mujaini Tarimin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali serta pemangku Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad.

Tony Pua : RM6.77 Juta Untuk Sebuah KR1M Terlalu Tinggi, Untungkan Kroni

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Pakatan Rakyat mendakwa peruntukkan RM 6.77 juta oleh Kerajaan Pusat untuk Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak dianggap terlalu tinggi dan merupakan langkah memberi keuntungan kroni Umno-BN.

Sedangkan sebelum ini kos menyediakan sebuah KR1M dianggarkan hanya menelan belanja sebanyak RM 472,000 sahaja, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Menurut Pua, peruntukan tersebut juga hanya menguntungkan Mydin Mohamed Holdings Bhd yang menerima peruntukan itu secara ekslusif sekaligus membunuh daya saing pekedai-pekedai kecil lain.

“Malah, bila geran RM 386 juta atau subsidi diberikan kepada Mydin akan memberi kesan iaitu membunuh semua pesaing Mydin dari pasaraya hypermarket hinggalah ke pekedai kecil-kecilan.

“Mydin akan mempunyai hak monopoli untuk menjual produk tertentu di harga yang lebih murah daripada pesaingnya disebabkan pemberian eksklusif RM386 juta daripada kerajaan persekutuan,” kata Pua dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan peruntukan RM6.77 juta bagi menyediakan sebuah KR1M di Sabah dan Sarawak.

Program yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 386 juta itu diperuntukkan bagi menyediakan 57 KR1M di kedua-dua negeri itu.

Menurut Pua lagi, kerajaan sewajarnya mengagihkan peruntukan RM 386 juta itu kepada pekedai-pekedai sedia ada di Sabah dan Sarawak.

Ini akan membolehkan mereka menjual harga barangan yang lebih rendah sekaligus menguntungkan pengguna di negeri-negeri tersebut.

Duduk Di Rumah Tetapi Bil Air Umpama Perniagaan


AMPANG 01 OKT : Seramai 26 penduduk pangsapuri di Pandan Jaya membantah tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada “kediaman” kepada “perniagaan”.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata mengikut laporan penduduk, perkara itu berlaku sejak tahun lalu. Kes terbaru berlaku dua bulan kebelakangan ini.

Katanya, penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

“Jika sebelum ini mereka membayar minimum RM0.57 sahaja, kini dinaikkan kepada minimum RM2.07. Jumlah itu menjadikan bil mereka dicaj sehingga RM80 hingga lebih RM100 sebulan.

“Setakat ini, kita baru menerima laporan 26 penduduk ini, namun kita percaya perkara sedemikian mungkin berlaku dibeberapa kawasan lain di sekitar negeri,” katanya dalam sidang media di Pandan Jaya, hari ini.

Jelasnya, dalam perbincangan dengan pihak Syabas baru-baru ini, Syabas meminta penduduk yang mahu menukar kembali ke meter asal untuk memohon pengesahan dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mereka turut memberikan alasan yang saya tidak terima. Dakwa mereka (Syabas) menukar meter itu berdasarkan status tanah, bagaimanapun terdapat juga sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk supaya membuat aduan kepada Adun atau Ahli Majlis di kawasan masing-masing supaya memudahkan urusan menghantar senarai nama kepada MPAJ.

Katanya, pihaknya turut mendesak Syabas supaya membayar rebet kepada penduduk selepas meter itu ditukarkan kepada asal.

“Ini kerana ada yang terlibat sudah hampir setahun, ia merugikan penduduk. Jika Syabas tidak boleh mengembalikan rebet, kita meminta Syabas memotong bayaran pada bil mereka yang akan datang ini.

“Perkara ini melibatkan ribuan penduduk dan melibatkan banyak kediaman daripada perniagaan. Saya harap kerjasama daripada penduduk supaya mereka dikenakan caj yang betul (kediaman) bukannya perniagaan.

“Perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, kita tidak mahu pihak Syabas berterusan mempolitikkan isu air ini,” katanya.

RKSS Berjaya Bantu Siswazah Selangor Peroleh Pekerjaan

SHAH ALAM 30 SEPT: Walaupun berjaya menggengam segulung Diploma Pentadbiran daripada Universiti Selangor(Unisel)setahun lalu, Suraya Muhammad, 25, masih gagal mendapatkan pekerjaan sehinggalah beliau menyertai program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor(RKSS).

Katanya, beliau mengambil kursus jangka pendek selama tiga bulan bagi kemahiran menjahit dan ternyata ia memberi perubahan dalam kehidupannya kini.

“Saya mempelajari teknik menggunakan mesin jahit serta jenis-jenis jahitan mesin serta pelbagai lagi kemahiran yang saya perlukan sehinggalah saya mampu mengambil tempahan menjahit baju secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui di Majlis Alumni RKSS kali pertama di Hotel Quality Shah Alam hari ini.

Bagi Mohd Izaruddin Saad, 22, beliau berpendapat graduan-graduan yang masih mencari pekerjaan harus menyertai kursus-kursus seperti ini kerana banyak manfaat yang diperoleh seperti dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada.

“Selain belajar, saya juga dapat memperolehi pendapatan melalui elaun yang diberikan dan kerja sambilan membaiki komputer hasil kursus yang saya sertai ini,” katanya yang selesai menamatkan kursus Teknologi Maklumat, Pembaikan Komputer yang disediakan RKSS ini.

Sementara itu, RKSS yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada September 2011 lalu ini menerima sebanyak 578 peserta dan seramai 329 daripadanya berjaya mendapat pekerjaan dan memulakan perniagaan sendiri manakala sebahagian lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Program yang dipelopori oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun lalu untuk menyediakan 14 kursus jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu keusahawanan dalam pelbagai bidang.

Menurut Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamaruddin, idea asal program ini diilhamkan oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyediakan kaedah terbaik bagi membantu siswazah menganggur meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

“Ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat supaya siswazah negeri ini dapat mempelajari sesuatu kemahiran yang mereka ingin ceburi untuk dijadikan kerjaya di masa hadapan,” katanya ketika memberi ucapan di majlis itu.

Abdul Khalid pula berkata, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan hasrat Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) dan ini merupakan salah satu usaha murni bagi membantu negeri ini mengurangkan kadar siswazah menganggur.

“Tanggungjawab sosial ini merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada negeri ini di masa hadapan,” katanya.

Majlis Alumni RKSS yang diadakan julung-julung kalinya ini dihadiri Abdul Khalid serta peserta RKSS dan penyelia kursus-kursus yang disediakan.

Hakim Tiada Panduan Jelas, Perlu Jawatankuasa Hukuman Rogol Bawah Umur

SHAH ALAM, 30 SEPT: Hakim di negara ini tidak mempunyai satu garis panduan yang jelas dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah yang melibatkan kes rogol gadis di bawah umur.

Oleh itu, satu jawatankuasa menjatuhkan hukuman perlu ditubuhkan bagi memastikan hukuman yang setimpal dan konsisten dapat dikenakan kepada pesalah kes rogol gadis di bawah umur.

Demikian menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui TV Selangor di lobi Parlimen baru-baru ini.

Izzah mengulas penghakiman luar jangkauan terhadap kes membabitkan pemain bowling kebangsaan dan seorang juru elektrik sebelum ini.

“Ini menunjukkan perlunya satu garis panduan yang lebih konsisten supaya pemangsa itu takut melakukan apa sahaja hubungan dengan gadis bawah umur atau kalau di Malaysia gadis di bawah 16 tahun,” ujar beliau.

Menurut Izzah yang mengambil contoh perlaksanaan di United Kingdom, sebuah jawatankuasa bagi memutuskan hukuman kepada pesalah kes rogol bawah umur perlu ditubuhkan dengan melibatkan Ahli Parlimen, ahli politik, ahli akademik dan hakim-hakim.

“Ini wajib dilaksanakan supaya kita tidak bertolenrasi dengan mana-mana perbuatan jahat yang memangsakan anak-anak di Malaysia,” kata beliau lagi.

Sebelum ini masyarakat negara ini dikejutkan dengan keputusan mahkamah membebaskan dengan ikat jamin RM25,000 terhadap pemain bowling negara, Noor Afizal Azizan setelah beliau mengaku bersalah merogol gadis bawah umur.

Manakala dalam kes berasingan yang turut mencetuskan polemik, juru elektrik, Chuah Guan Jiu, 22 tahun, juga dibenarkan diikat jamin RM25,000 setelah didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur di Pulau Pinang tahun lalu.

Anwar : Najib Cabut Lari Bila Ajak Debat

SHAH ALAM 30 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menolak cabaran debat dilontarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembentangan bajet 2013 dibuatnya di Parlimen Jumaat lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengulangi cabarannya itu selepas Menteri Kewangan itu menggunakan sebahagian masa dalam tempoh pembentangan bajet tersebut bagi menyerang dirinya dan pemimpin Pakatan Rakyat(PR).

“Saya secara bergurau berkata kepada Najib dalam masa lebih kurang setengah jam saudara menyerang saya. Apa kata kalau kita debat Najib dengan tajuk belanjawan? Dia sambil ketawa pegang beg terus blah (berlalu).

“Pimpinan ini dia mesti berani pertahankan hujahnya. Itu prinsipnya. Jadi kalau kita gunakan media untuk meuar-uarkan jadi alat propaganda dan tidak boleh diulas itu jadi masalah,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Perdana Bersama Pimpinan PR di Stadium Malawati di sini malam Jumaat lalu.

Beliau berkata, selaku Ketua Pembangkang dia akan mengulas secara panjang lebar mengenai bajet 2013 yang dibentangkan Najib dalam sidang dewan pada Isnin ini serta berharap Perdana Menteri menghadirinya.

“Saya masih ingat semasa saya jadi Menteri Kewangan, saya tidak pernah tidak hadir ulasan awal Ketua Pembangkang walaupun pedih telinga (mendengar). Masa itu YB Lim Kit Siang jadi Ketua Pembangkang.

“Bukan senang nak dengar tetapi saya fikir oleh kerana dia dengar ucapan kita selaku Menteri Kewangan maka wajarlah untuk menghormati sistem demokrasi dan memuliakan Parlimen,” lata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

PR Sasar Himpun Sejuta Orang Di Konvensyen Mega Pra Pilihan Raya 3 November Depan

SHAH ALAM 29 SEPT : Konvensyen Mega Pra Pilihan Raya anjuran Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Jalil pada 3 November depan dengan sasaran kehadiran satu juta orang, sebagai mesej kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai intergriti agensi kerajaan itu yang dipersoalkan ketelusannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perhimpunan tersebut akan dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu serta majlis kepimpinan PR bersetuju supaya seluruh tenaga PAS, DAP dan PKR dikerahkan ke Stadium Bukit Jalil untuk menjayakan perhimpuan besar itu.

“Ia menuntut pilihan raya diadakan dengan bersih. Itu tuntutan kita mengulangi tuntutan Bersih, sebab itu kita mestilah berkali ganda lebih ramai daripada perhimpuan Bersih yang diadakan dulu.

“Kita mengharapkan memenuhi stadium 200 ke 300 ribu orang dan melimpah keluar stadium beberapa ratus ribu orang supaya mesej itu benar-benar sampai dengan jelas kepada Perdana Menteri, SPR dan seluruh rakyat negara ini.

“Sasaran jawatankuasa ini adalah menghimpunkan sejuta orang di dalam perhimpunan rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Perdana Bersama Pimpinan PR di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta barisan kepimpinan PR yang lain.

Anwar berkata, perhimpunan itu bakal menghimpunkan semua kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua suku kaum.

“Soal Suruhanjaya Pilihan Raya ini dia belum laksanakan tugas dengan telus. Kita tahu tetapi sekurang-kurangnya kita bagi ingatan dengan keras yang dia kena betulkan,” katanya.

DUN Subang Jaya Terima RM2 Juta Geran MARRIS

SUBANG JAYA,27 SEPT : Sebanyak RM 2 juta telah diperuntukkan tahun ini untuk menurap semula jalan raya dan longkang yang rosak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

Bagaimanapun, Pihak Adun Subang Jaya, telah memohon supaya peruntukkan tersebut ditambah kerana jumlah RM 2 juta tidak cukup untuk melaksanakan projek-projek di kawasan populasi tinggi seperti Subang Jaya.

“Saya telah memohon kepada Menteri Besar untuk menambah peruntukkan MARRIS kerana RM 2 juta tidak mencukupi,” kata Hannah.

Peruntukan tersebut disalurkan di bawah peruntukkan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) tahun ini.

Beliau berkata demikian semasa turun padang di SS 14/2 di sini bagi melihat kerja-kerja menurap jalan dan membaiki longkang bersama jurutera Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Tambah beliau, sejumlah RM 398,000 diperuntukkan untuk menurap semula sebahagian jalan di kawasan SS 14, SS 18 Jalan utama antara SS 14 dan SS 17.

Dana tersebut juga digunakan untuk memperbaiki sistem longkang di SS 14/2 dan menyediakan 45 petak letak kereta.

“Penggunaan peruntukkan MARRIS juga telah digunakan di kawasan lain seperti di SS17 dan SS 18,” katanya.

Tambah beliau lagi, lebihan RM 600,000 daripada peruntukkan itu digunakan untuk menurap semula sebahagian jalan di Persiaran Kemajuan dengan peruntukkan RM400,000.

?Manakala bakinya sejumlah RM200,000 digunakan untuk menaiktaraf jalan dan garisan tempat meletak kenderaan dan kerja-kerja lain di Jalan USJ 10/1F Subang Jaya.?

Belanjawan PR Mampu Beri Lebihan RM 930 Sebulan Jika Dilaksanakan

SHAH ALAM, 26 SEPT : Belanjawan Pakatan Rakyat (PR) 2013 mampu memberikan lebihan kewangan sebanyak RM 930 sebulan kepada sebuah keluarga sekiranya ianya dilaksanakan dengan berhemah.

Perkiraan ini dibuat berdasarkan anggaran pendapatan dan belanjawan satu keluarga yang mempunyai lima orang ahli dimana suami bekerja sebagai seorang guru dan tinggal di Lembah Klang.

Unjuran itu merujuk kepada penjimatan daripada penurunan harga kereta, bahan api petrol serta penghapusan tol berjumlah RM 120, yang akan dilaksanakan Pakatan sekirannya memerintah negara.

Disamping pengecualian pembayaran semula PTPTN sebanyak RM 200, perlaksanaan pembayaran elaun kepada guru sebanyak RM500 seperti yang disebut dalam Buku Jingga mampu meningkatkan pendapatan keluarga tersebut.

Di bawah Pakatan, Kerajaan Pusat juga akan melaksanakan skim Caruman Wanita Nasional yang akan memberikan RM 50 sebulan kepada suri rumah.

Di anggarkan penjimatan sebanyak RM 60 untuk keluarga tersebut dapat dihasilkan melalui penggurangan harga makanan dan barangan sebanyak 5 peratus.

Unjuran tersebut dibuat berdasarkan status kewangan sebuah keluarga yang mempunyai sebuah kereta dan sebuah rumah berharga RM250,000 kebawah sebagai aset.

Keluarga tersebut juga masih membuat pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN) dan pulang ke kampung di Alor Setar setiap tahun.

Belanjawan yang bertemakan ?Ekonomi Rakyat, Negara Berkat? dilancarkan hari ini oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

MPSJ Peruntuk Hadiah Kepada Pembayar Cukai Berhemah

 

SUBANG JAYA 26 SEPT : Sempena sambutan Ulangtahun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ke 15, pihak MPSJ mengadakan program cabutan bertuah bagi menghargai kira-kira 254, 000 pembayar cukainya.

Hari ini, seramai 16 orang diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pembayar Cukai Bertuah yang diadakan di Laman Kenanga,MPSJ pagi tadi.

Kesemua hadiah disampaikan Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi diiringi Timbalannya, Abdullah Marjunid sejurus mereka selesai menghadiri Mesyuarat Penuh MPSJ.

“Mereka ini merupakan antara 40 pembayar cukai yang berjaya melaksanakan pembayaran cukai taksiran mengikut tempoh masa ditetapkan, tiada tunggakan serta mempunyai rekod pembayaran yang baik.

“Inisiatif ini juga sebagai galakan kepada para pembayar cukai untuk membayar secara ‘on time’,” ujar Asmawi dalam sidang medianya.

Para pemenang dipilih daripada 166, 000 akaun dalam satu majlis cabutan bertuah yang diadakan sewaktu Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan pada 19 September lalu.

Antara hadiah ditawarkan ialah sepuluh unit Samsung Tab, sepuluh unit telefon bimbit Samsung, empat unit televisyen LCD, dua unit peti sejuk, empat unit kamera serta sepuluh unit basikal.

Dalam pada itu, Asmawi memaklumkan sehingga Ogos 2012, sebanyak RM 151.96 juta cukai taksiran berjaya dikutip, kira-kira 87 peratus daripada sasaran MPSJ bagi tahun ini iaitu sebanyak RM 175 juta.

MB : Rakyat Jangan Terpengaruh Provokasi “Krisis Air Selangor”

SHAH ALAM, 26 SEPT : Menteri Besar Selangor menganggap iklan fiksyen “Krisis Air Selangor” yang bakal dihasilkan untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri sebagai cabaran untuk beliau terus menyusun semula industri air untuk kepentingan rakyat.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata iklan tersebut menunjukkan sikap buruk sesetengah pihak terhadap usaha Selangor menyusun semula industri air.

“Saya berharap pelakon-pelakon tambahan ini tidak menggunakan krisis air untuk menunjukkan keupayaan lakonan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Pada Sept 24, sebuah produksi dikesan menjalankan penggambaran berbentuk rekaan yang kononnya wujud krisis bekalan air di Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di salah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Iklan pendek berdurasi 40 saat itu memaparkan adegan orang ramai sedang berbaris panjang di tengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka berlakon dengan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Tujuan iklan tersebut seolah-olah membentuk satu persepsi bahawa bekalan air di Selangor kerap menghadapi ganguan sedangkan tidak berlaku langsung masalah bekalan air di lokasi pengambaran itu.

Sebelum ini, Kerajaan Umno-BN cuba mewujudkan persepsi bahawa Selangor dilanda krisis air kerana bekalan tidak mencukupi.

Ekoran itu, Kerajan Selangor telah membuktikan bahawa bekalan air mentah lebih daripada mencukupi.

PAS Bantah Lagi Penghinaan Karikatur Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 26 SEPT : Tidak sampai seminggu himpunan besar-besaran dihadapan Kedutaan Amerika Syarikat, kini Kedutaan Perancis menjadi tumpuan ekoran penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad SAW di dalam majalah Charlie Hebdo.

Karikatur yang diterbitkan pada 19 September lalu merupakan kesinambungan perbuatan menghina Islam yang cuba mencetuskan provokasi agama.

PAS yang nyata kecewa dengan tindakan yang dianggap dari musuh Islam tampil ke Kedutaan Perancis di Jalan Ampang di sini bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengetuai rombongan itu berkata, Islam tegas dalam mempertahankan kebesaran Nabi Muhammad SAW dan tidak akan sesekali menghina agama lain seperti yang telah disebutkan dalam Al-Quran.

“Eropah menggambarkan Islam sebagai pelampau agama. Penghinaan ini memberikan ‘lesen’ kepada pelampau untuk bertindak.

“Kebebasan bersuara jangan sampai menghina agama lain. Jika agama Kristian dihina kami akan bantah juga,” kata Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu.

Katanya, penghinaan ini mampu membangkitkan kejadian serangan seperti yang berlaku di Libya.

Mat Sabu yang masuk ke perkarangan kedutaan pada jam 11.45 pagi turut ditemani oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Setiausaha Lajnah, Mohamad Faiz Mat Nawi dan Pembantu Mat Sabu, Tajuddin Osman.

Dr Syed Azman yang ditemui di luar kedutaan meminta bantahan umat Islam ini disuarakan kepada Presiden Perancis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Sebanyak empat karikatur Nabi Muhammad SAW disiarkan dan dua daripadanya menggambarkan Baginda sedang telanjang.

Dalam komen biadap editor majalah berkenaan, Charb berkata, beliau tidak menyalahkan orang Islam untuk tidak ketawa dengan lukisan mereka.

“Saya tinggal dibawah perundangan Perancis, tidak tinggal dibawah perundangan Al-Quran,” katanya.

Pada tahun 2005 penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW turut dizahirkan melalui lukisan karikatur oleh akhbar Jyllands-Posten di Denmark.

MDKL Akan Ambil Tindakan Terhadap Pasaraya Beroperasi Lebih Masa

KUALA LANGAT 26 SEPT : Tindakan sesetengah pasaraya beroperasi melebihi had waktu ditetapkan menyebabkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengambil langkah untuk menyelaraskan waktu operasi ke atas semua premis perniagaan itu.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata pihaknya mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan kesalahan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebelum ini, terdapat pasaraya yang beroperasi 24 jam setiap hari dan menyebabkan kemarahan dan rungutan dari pihak peniaga runcit di sekitar Kuala Langat.

Katanya, pasaraya terbabit pernah membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh operasi, namun pihak MDKL menolak permohonan itu.

“Bagaimanapun, pihak mereka degil dan tetap menjalankan operasi 24 jam biarpun dikompaun.

“Oleh itu, kita akan menyelaraskan masa operasi bagi semua perniagaan seperti itu. Kita tidak mahu mana-mana perkara sedemikian akan menyebabkan pergaduhan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MDKL.

Hafiz menambah, tempoh operasi yang dibenarkan itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam sahaja.

Katanya, sekiranya pihak pengurusan masih berdegil tindakan tegas akan diambil.

“Kita juga akan mengadakan sesi dialog dengan kesemua pihak pengurusan pasaraya untuk membincangkan perkara ini dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

MDKL Pantau Pelajar Ponteng di Pusat Siber

KUALA LANGAT 26 SEPT : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan bekerjasama dengan pihak polis dalam meningkatkan pemantauan terhadap kafe siber bagi membanteras gejala ponteng sekolah.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata pemantauan itu melibatkan pusat siber di sekitar Kuala Langat termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap pengusaha kafe siber yang membiarkan premis mereka dijadikan tempat pelajar ponteng sekolah berkumpul.

Beliau berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada pihak sekolah dan ibu bapa berhubung perkara terbabit.

Katanya, berdasarkan aduan, kebimbangan para ibu bapa terserlah apabila mendapati ada anak-anak mereka terleka dan pulang ke rumah lewat malam.

“Masalah ini biasanya melibatkan pelajar sekolah rendah yang berusia 12 tahun ke bawah, sedangkan jika mengikut peraturan golongan mereka ini hanya dibenarkan memasuki premis ini dengan ditemani penjaga.

“Ada juga diantara mereka yang mula berkumpul di premis ini selepas waktu sekolah seterusnya pulang ke rumah pada jam 1 pagi selepas premis itu ditutup,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MDKL.

Tambahnya, bahagian kawalan perniagaan MDKL akan berbincang dengan pusat siber terbabit bagi mencari alternatif lain supaya menghadkan masa beroperasi bagi golongan pelajar itu.

“Kami tidak mahu pusat siber ini menjadi masalah kepada masyarakat. Pelajar digalakkan ke pusat siber hanya untuk tujuan akademik, bukan bermain permainan komputer dan berjudi. Ini boleh merosakkan mereka,” katanya.

Sokongan Kepada PR Meningkat Di Selangor

SHAH ALAM,26 SEPT : Satu kajian Universiti Malaya menunjukkan sokongan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor telah meningkat kepada 50 peratus berbanding 38 peratus pada awal tahun ini.

Kajian itu juga menunjukkan 30 peratus responden yakin bahawa
Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya dalam pilihanraya akan datang. Ini merupakan peningkatan daripada angka 21 peratus yang dicatit pada tempoh Mac hingga April tahun ini.

Manakala Barisan Nasional (BN) mencatatkan penurunan sokongan di peringkat nasional dan Selangor.

Di Selangor sokongan terhadap BN merosot kepada hanya 16 peratus berbanding 28 peratus empat bulan lalu.

Di peringkat nasional pula hanya 44 peratus daripada responden yakin yang BN akan terus menguasai Putrajaya.

Manakala 36 peratus tidak pasti siapakah yang akan menang di peringkat nasional.

Tinjauan pendapat itu dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Ia diadakan pada tempoh 1 hingga 16 September lepas di seluruh Semenanjung Malaysia.

Keputusan kajian ini dibandingkan dengan satu lagi kajian yang dilakukan daripada 31 Mac hingga 15 April lalu.

Bilangan responden ialah 1,536 dengan kajian dilakukan secara bersemuka yang melibatkan peserta Melayu, Cina dan India.

Antara keputusan lain yang diperoleh adalah:

* 72 peratus berharap satu debat diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

* 66 peratus percaya integriti pemimpin BN akan menghakis sokongan kepada BN.

* 55 peratus bersetuju kontroversi mengenai Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) akan memberi kesan kepada sokongan BN.

UNISEL Bangunkan Penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan Jana Hasil Kewangan

BESTARI JAYA, 26 SEPT: Walaupun dikritik dan kemampuannya dipersoal, Universiti Selangor (Unisel) tetap berjaya mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan yang boleh menjana keuntungan kewangan.

Melalui Unit Kultur Tisu FaSBio, Unisel dijangka boleh menghasilkan anak pokok bagi tumbuhan yang mempunyai nilai komersil seperti orkid, tanaman perhiasan, herba, pisang dan nenas melalui teknik mikropropagasi.

Bagi peringkat permulaan, unit ini akan memberi tumpuan untuk menghasilan anak pokok orkid dan dijangka dapat menghasilkan sebanyak 7,000 anak orkid berkualiti setahun.

Unit ini diterajui Prof Madya Dr Aziah Mohd Yusoff yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang kultur tisu.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, geran permulaan bagi projek ini diperolehi daripada Kerajaan Negeri.

“Pemberian awal geran sebanyak RM 500 ribu dengan tujuan mengadakan pelbagai penyelidikan di Unisel membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan imej universiti ini setanding universiti lain di negara ini dan dunia,” katanya.

Anuar berkata demikian ketika berucap di Majlis Perlancaran Projek Kultur Tisu di bangunan Fakulti Sains & Bioteknologi Unisel Kampus Bestari Jaya hari ini.

Majlis ini disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, pembangunan penyelidikan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat setempat melalui hasil tani.

Katanya, penghasilan anak-anak pokok melalui teknik kultur tisu dapat mengurangkan kos pembelian anak-anak pokok di samping dapat meningkatkan kadar kemandirian anak-anak pokok.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Unisel kerana berjaya membangunkan projek ini dan diharap dapat memberi manfaat khususnya kepada petani di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, melalui aktiviti penyelidikan yang dijalankan, unit ini juga membuka peluang kepada graduan yang berminat untuk menyambung pengajian mereka di dalam bidang kultur tisu di peringkat Sarjana (M.Sc) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Di dalam waktu yang terdekat, unit ini dijangka dapat menjana kewangannya sendiri melalui penjualan anak-anak pokok, teknologi kultur tisu dan latihan jangka pendek yang ditawarkan.

Noh Digesa Tidak Jual Tanah MARDI

SHAH ALAM 25 SEPT : Datuk Seri Noh Omar digesa tidak meneruskan hasrat menjual tanah milik Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang seluas 200 ekar kepada mana-mana pihak hanya untuk meraih keuntungan.

Exco Permodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan pihak MARDI untuk menukar status tanah itu daripada pertanian kepada perniagaan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu lepas.

Dr Yaakob memberitahu pada waktu ini tanah milik MARDI berkenaan sedang dalam proses rundingan untuk dijadikan tapak universiti swasta yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Beliau menegaskan Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sepatutnya melakukan transformasi terhadap MARDI untuk dijadikan sebagai salah satu pusat pertanian yang unggul di dunia.

?Selaku menteri kabinet beliau seharusnya menasihat ahli-ahli mesyuarat kabinet yang lain supaya mempertahankan tanah tersebut dari terus dijual.

“Sebaliknya, beliau hanya mendiamkan diri dalam isu ini tanpa memberikan sebarang maklumbalas.

“Difahamkan pihak MARDI tidak bersetuju dengan arahan menteri kabinet yang ingin menjual tanah tersebut dengan harga yang sangat rendah,” kata Dr Yaakob di sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
.
Beliau berkata, tanah itu ingin dijual pada harga kira-kira RM14.50 sekaki persegi walaupun harga pasaran adalah sekitar antara RM80 hingga RM100 sekaki persegi di kawasan itu.

Tambah Dr Yaakob, tanah milik MARDI ketika ini sebahagiannya dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ujarnya, setiap tahun jutaan tetamu yang hadir mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).

Pada 23 November hingga 2 Disember ini, dijangka seramai 3 juta orang ramai bakal hadir menjayakan pameran tersebut.

?Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha penganjuran MAHA di tapak tersebut, tetapi jangan sesekali menjual tanah di situ.

“Jika ada pihak swasta yang ingin mahukan tempat untuk pembangunan universiti atau hospital, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak pembangunan di tempat- tempat lain tetapi bukannya di tapak milik MARDI di Serdang,” katanya.

“Diharapkan pihak MARDI membatalkan permohonan jual beli tanah tersebut?,ujarnya.

Cat Cuma Dua Pangsapuri, Ong Tee Keat Lebih Dwi Standard

SHAH ALAM 25 SEPT : Adun Teratai, Jenice Lee membidas kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan Kerajaan Negeri dwi standard dalam melaksanakan pembangunan di kawasan Ampang.

Sebaliknya kata Jenice, Ahli Parlimen Pandan itu yang mengamalkan dwi standard kerana hanya memilih dua pangsapuri di hadapan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) untuk dicat semula, baru-baru ini.

“Sekiranya beliau tidak mengamalkan dwi standard dan pilih kasih mengapa beliau (Ong Tee Keat) tidak membantu pangsapuri yang lain, mengapa hanya dua pangsapuri yang dipilih?

“Beliau yang lebih jelas dwi standard. Lihat sahaja Kerajaan Negeri, kita tidak memilih, semua kita baik pulih menerusi program ceria,” katanya ketika dihubungi.

Ong Tee Keat yang juga bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini mendakwa penurapan jalan di sekitar Ampang dilakukan secara tidak menyeluruh.

Mengulas lanjut, Jenice menjelaskan, kerja-kerja penurapan jalan dilakukan berdasarkan keperluan dan aduan penduduk.

Malah, kerja-kerja itu dilakukan secara berperingkat.

“Beliau langsung tidak faham polisi dan dasar Kerajaan Negeri. Kita buat macam itu supaya duit rakyat tidak dibazirkan.

“Sebelum Pakatan Rakyat (PR) pegang Kerajaan Negeri, Umno-BN pun memang polisinya begitu. Jadi apa masalahnya?” soalnya.

Tak Boleh Dedah ‘Client’ Atau Kami Disaman, Kata Produksi Filem Catuan Air Selangor

PETALING JAYA 25 SEPT: Syarikat produksi filem catuan air Selangor berhadapan tindakan saman oleh pelanggan mereka sekirannya mereka mendedahkan pihak yang membiayai projek perfileman tersebut.

Syarikat produksi tersebut semalam menjalankan penggambaran filem yang kononnya memaparkan kelemahan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu air di negeri terbabit.

Menurut jurucakap produksi terlibat, Chong Wai Leng kepada media di set penggambaran filem berdurasi 40 saat itu, larangan tersebut terdapat dalam kontrak yang dipersetujui oleh pihak syarikat dan pelanggan yang mahu menerbitkan filem tersebut.

“Kami dah tandatangan kontrak yang melarang kami berikan maklumat (nama pelanggan), jika kami langgar kontrak tersebut kami akan disaman.

“Kami menjalankan kerja kami secara profesional, saya harap anda memahami situasi kami,” kata Wai Leng.

Beliau mula menyedari kehadiran wakil media di lokasi penggambaran tersebut apabila penggambaran yang dijalankan secara rahsia itu mula didatangi beberapa wartawan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian tengahari semalam.

Selain itu, beliau turut meminta wakil media yang berada di situ agar meninggalkan lokasi penggambaran filem itu.

TV Selangor yang berada di lokasi penggambaran sejak awal pagi semalam mendapati set penggambaran berbajet tinggi itu dilengkapi sekurang-kurangnya tiga buah jentera kren, sebuah lori tangki air, sebuah ‘caravan’, sebuah tandas bergerak tiga pintu, sebuah generator besar dan beberapa kenderaan lain berupa lori dan van.

Beberapa khemah besar turut dibina bagi keselesaan para pelakon dan krew penggambaran makan dan berehat.

Penggambaran yang dijalankan di Pangsapuri Happy Mansion itu melibatkan kira-kira 300 pelakon dengan bayaran didakwa RM50 setiap seorang.

Tuan Ibrahim : MB Pahang Perlu Selesai Dahulu Masalah Air Sendiri

SHAH ALAM 25 SEPT : Kerajaan Negeri Pahang perlu menyelesaikan dahulu masalah kekurangan air di negeri itu dahulu sebelum sibuk mahu membekalkan bekalan air ke Selangor.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man beberapa daerah di Pahang sendiri menghadapi masalah air yang serius dan menjejaskan kehidupan rakyat di negeri itu.

Dihubungi TV Selangor Tuan Ibrahim berkata  Kerajaan Pahang perlu mengambil serius masalah ini dan menyelesaikannya demi kebaikan rakyat negeri itu sendiri.

“Masalah air di Pahang memang serius. Banyak tempat dan kawasan yang tidak mendapat bekalan air termasuk kawasan Felda dan sebagainya. Jadi kita kata bahawa projek (Langat 2) ini sebenarnya projek sekadar untuk bagi kepada kroni sahaja.

“Kalau soal kebajikan air, saya fikir di Pahang ini isu air adalah serius contohnya di kawasan Bandar Pusat Jengka, ada kawasan dipanggil Matau sampai ke hari ini bekalan air bersih tidak disalurkan. Jadi betul apa yang disebut bahawa Pahang ini nak jual air ke Selangor sedangkan isu dalam negeri pun belum selesai,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyokong sekiranya Kerajaan Pahang berhasrat membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor sekiranya projek Loji Air Langat 2 tidak diteruskan.

Pembatalan projek itu perlu dengan syarat peneroka Felda di kawasan Lembah Kelau diberikan kembali hak tanah mereka serta bayaran wang deposit diterima mereka tidak dikembalikan.

Disebabkan Projek Langat 2 ini, sebahagian peneroka Lembah Kelau kehilangan tanah yang diusahakan dengan tanaman sawit sebagai sumber pendapatan. Kini penduduk terlibat hanya  bergantung kepada bayaran pampasan yang diterima.

“Kita setuju pembatalan bagi projek (perjanjian penyaluran air) ini dan Selangor sendiripun mempunyai sumber air lain seperti air bawah tanah dan sebagainya yang belum diteroka sepenuhnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, PAS sesungguhnya tidak bersetuju pada peringkat awal lagi dengan Projek Loji Langat 2 itu kerana ia melibatkan pengambilan tanah rezab Melayu iaitu tanah kawasan Felda di Lembah Kelau.

Projek berkenaan juga  melibatkan isu alam sekitar apabila berlaku penebangan balak dalam jumlah yang besar.

Hee Loy Sian : Filem Selangor Dilanda Krisis Air MCA Didakwa Dalang

PETALING JAYA, 25 SEPT: MCA didakwa sebagai dalang disebalik penggambaran filem pendek yang merupakan sebahagian dari kempen memburukan imej Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam mengurus sumber air di negeri ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian kepada media ketika melawat kawasan penggambaran di Happy Mansion di sini semalam.

Menurut Loy Sian, beliau mengetahuinya dari sumber dalaman MCA sendiri dan juga berdasarkan penyertaaan tinggi dari kalangan pelajar sebuah Institusi Pengajian Swasta di Petaling Jaya yang dikatakan dikuasai parti itu.

Bagaimanapun menurutnya, beliau akan mendedahkan butiran lanjut apabila filem yang melibatkan kira-kira 300 pelakon itu ditayangkan kelak.

Menurut Loy Sian, beliau juga menerima beberapa panggilan dari penduduk yang tidak berpuas hati dengan tindakan mengadakan pengambaran di lokasi perumahan mereka.

“Persatuan penduduk di sini dibohong oleh produser, mereka kata nak ambil gambar untuk kempen penjimatan air, tetapi bukan.

“Ini hanya nak kritik  Kerajaan Pakatan Rakyat, jadi penduduk terkejut.

“Kalau video klip itu disiarkan ramai terkejut, penduduk tak tahu, seolah-olah dia menggunakan penduduk, tetapi matlamat sebenarnya mereka tak tahu,”  ujar Loy Sian.

Ketika ditanya tentang bekalan air dikawasan tersebut, Loy Sian menyatakan bekalan air di Happy Mansion ketika ini berjalan dengan keadaan baik.

Kenyataan beliau turut disokong oleh beberapa penduduk yang berada di situ.

Adegan Memekik Marah

Ketika penggambaran filem berdurasi 40 saat itu sedang dijalankan, wartawan TV Selangor sempat mengikuti penggambaran beberapa adengan.

Antaranya, adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka juga kelihatan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Selain itu, TV Selangor turut sempat menyaksikan satu adegan lain di tingkat satu, seorang wanita yang sedang mendukung anak sedang memarahi seorang lelaki sambil menengking “Apa minta maaf!” apabila lelaki itu cuba menjelaskan sesuatu.

Manakala dalam satu adengan lain yang juga dibuat di tingkat satu, seorang lelaki kelihatan berlari dengan sebab yang tidak diketahui.

Beberapa krew porduksi yang terlibat juga kelihatan keberatan untuk memberikan maklumat apabila ditanya.

“Saya cuma kerja sahaja bang, saya tak tahu shooting ini untuk filem apa,” kata salah seorang krew yang berada di lokasi penggambaran.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Jenny memberitahu, setiap pelakon diberikan kupon bernilai RM50 setiap seorang yang boleh ditukarkan di kaunter yang disediakan.

Beliau mengetahuinya dari seorang wanita warga Indonesia yang berkerja sebagai orang gaji di salah sebuah rumah di situ dan terlibat sebagai pelakon produksi berkenaan.

Saya Tidak Berahsia, Benarkan Gambar Naik Jet Disiar, Kata Anwar

 

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Tiada rahsia menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan gambar menaiki jet eksekutif bersama pemimpin Pakatan Rakyat(PR) dipaparkan dalam media sosial masing-masing, kata Ketua Umum PKR itu di parlimen hari ini.

Malah Anwar menyifatkan ia adalah satu percubaan Umno-BN memperbesarkan isu itu dan menakutkan ahli korporat lain untuk tidak membantu PR.

Anwar menjelaskan keperluan menaiki jet terbabit untuk ke Labuan kerana keadaan terdesak disebabkan tiada penerbangan pada petang itu.

“Oleh kerana saya menghadapi masalah, saya dihubungi oleh seorang kawan untuk membenarkan saya menaiki jet itu.

“Beliau hanya seorang kawan bukannya penyokong PR dan beliau tidak berminat dengan mana-mana kontrak di negeri Selangor,” katanya.

Tambahnya, sekiranya mana-mana pihak masih tidak berpuas hati, boleh menyemak rekod pemilik yang terdapat di Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Sebelum ini, Anwar dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan, Sabah pada 15 September lalu untuk menyambut perayaan Hari Malaysia.

Abdul Khalid: Dari Penjual Kelapa Salai, Akhirnya Ke Menteri Besar Selangor

PETALING JAYA, 20 SEPT: Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina bersama neneknya dari rentung dijilat api.

Pada hari itu, bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa orang perkerja.

Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan ketika itu dia cuma berusia 12 tahun.

Akibatnya, anak itu kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan dengan  mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang bersekolah di darjah tiga dan empat.

Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya.

Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.

Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya, anak kecil yang  pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad.

Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.

Ini atas kejayaan mengetuai operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London dengan ‘membawa pulang’ syarikat ladang kelapa sawit gergasi Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd).

Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.

Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya, ‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’.

Buku tersebut dilancarkan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.

Selain menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk dikongsikan bersama masyarakat.

Antara pengajaran penting yang dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan pembaca.

Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada penulisan bacaan yang lebih berat.

“Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.

“Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan yang lebih berat, lebih bersifat akademik,” katanya kepada media selepas pelancaran buku tersebut.

Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan.

Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.

Insiden Kawalan Udara Tergendala, PKR Tuntut Penjelasan

SUBANG, 21 SEPT : PKR hari ini menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menjelaskan bagaimana pusat kawalan udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi sepenuhnya.

Berikutan insiden itu, ruang udara Malaysia tidak dapat dikawal hingga menyebabkan semua penerbangan berlepas dibatalkan dan kawalan trafik udara diserahkan kepada negara jiran, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau turut mendedahkan laporan interim DCA oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara tersebut.

Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan adalah Advance Air Traffic System Sdn Bhd (AAT), manakala syarikat yang membangungkan sistem tersebut adalah SELEX Sistemi Integrati (SELEX).

“Kami sebelum ini telah mengemukakan permintaan supaya audit bebas dilaksanakan, namun kementerian dan DCA hanya memperlekehkan perkara tersebut serta memperkecilkan kecacatan sistem yang bernilai RM 125.4 juta,” katanya dalam sidang media di hadapan Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur di Subang pagi tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan N Surendran serta Ketua Biro Keselamatan PKR, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Pada 12 September lalu, sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang SAAS di sini telah lumpuh lebih dua jam bermula daripada 2.30 pagi hingga 4.20 pagi berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kementerian berkenaan dan DCA membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim.

?Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,? kata Izzah lagi.

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.

Kabinet Bayangan Bukan Pra-Syarat Untuk Memerintah

SHAH ALAM, 21 SEPT : Kabinet Bayangan bukanlah suatu pra-syarat utama bagi menjamin sebuah pemerintahan yang cekap dan baik.

Sebaliknya Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu mentadbir negara ini dengan baik seperti yang ditunjukkan di empat negeri pimpinan mereka iaitu Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, semasa diberi mandat memerintah keempat-empat negeri berkenaan, PR tidak mempunyai kabinet bayangan, namun membuktikan pimpinan mereka jauh lebih baik berbanding Kerajaan Umno-BN.

Beliau berkata, kejayaan PR turut diperakui Ketua Audit Negara yang menunjukkan kecekapan pengurusan wang serta penambahan hasil negeri berdasarkan tatakelola yang baik dan cekap.

“Waktu kita menang PRU-12, kita tidak mempunyai kabinet bayangan untuk menentukan siapa Menteri Besar atau barisan exco. Saya anggap isu kabinet bayangan bukan satu kepentingan kerana pemerhati politik ini mempunyai pemikiran dangkal. Mereka merujuk kepada politik luar seperti Amerika Syarikat.

“Pada pandangan saya, pemerihati politik perlu melihat skop yang lebih luas kerana sistem pemerintahan negara luar amat berbeza dengan negara kita,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, pemerhati politik menyatakan keraguan mereka bahawa PR masih lagi belum bersedia memandangkan terdapat lagi beberapa perkara yang tidak diselesaikan pakatan pembangkang tersebut, antaranya isu Hudud dan juga kabinet bayangan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, PR menyandarkan perkara berkenaan kepada kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat penilaian.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk membuat pilihan sama ada mengekalkan pemerintahan Umno-BN atau memberi peluang kepada PR yang menunjukkan prestasi lebih baik apabila diberi mandat membentuk kerajaan di empat buah negeri.

Malah katanya, PR telah tampil dengan polisi yang mudah difahami rakyat selain mempunyai barisan pimpinan yang profesional dan bertenaga.

“Daripada 2008, apabila PR dibentuk kita dapat kemukakan beberapa polisi dan dasar yang boleh dinilai oleh rakyat iaitu pendidikan percuma dan menurunkan harga minyak yang bertujuan untuk mengurangkan kos kehidupan rakyat.

Kita juga perkenalkan polisi menurukan duti eksais kenderaan yang mana tidak boleh Umno-BN persoalkan dasar PR jika ingin memerintah negara. Malah kita mempunyai penampilan pemimpin yang lebih memikat dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negara,” katanya.

UITM Kaut Hadiah Pertandingan Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor

SHAH ALAM 20 SEPT : Sekumpulan pelajar arkitek daripada UiTM Shah Alam memenangi tempat pertama dalam pertandingan rekabentuk unit rumah mampu milik (RMM) anjuran Kerajaan Selangor.

Kumpulan itu yang dinamakan ?Superblock? menerima wang tunai RM 12,000 beserta sijil.

Manakala tempat kedua dimenangi kumpulan ?Rekabentuk S&V Residents? juga daripada UiTM Shah Alam yang menerima RM 8,000.

Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan ?Rekabentuk Urban Renewal Openness? daripada UiTM Seri Iskandar di Perak.

Tujuh perserta lain menerima saguhati RM 1,000. Kesemua hadiah tersebut disampaikan di dalam satu majlis di sini oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam ucapannya Abdul Khalid berkata, pertandingan yang dianjurkan ini diharap mampu merangka garis panduan baharu bagi pembangunan RMM.

“Kita harap agar idea yang diserlahkan oleh para pelajar IPTA pada reka bentuk ini dapat menghasilkan bangunan dengan kos yang berpatutan di pihak pemaju dan mampu dibayar pembeli rumah.

“Ia juga seharusnya berkonsepkan green building, mesra alam sekitar dan berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti berpusat,” jelasnya.

Pertandingan anjuran bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu disertai 65 peserta daripada empat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Mereka adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).

Pertandingan tersebut bermula pada 10 September lalu dan diadili oleh tujuh juri professional yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

92% Pangsapuri Kos Rendah Terima Air Percuma

SHAH ALAM 21 SEPT : Sejak program pemberian air percuma dilancarkan pada Jun 2008, sehingga kini lebih satu juta penduduk yang menggunakan meter individu menikmati air percuma termasuk penghuni pangsapuri kos rendah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, usaha memastikan pemberian air percuma dapat dinikmati penghuni pangsapuri kos rendah dilakukan sejak Jun 2010 lagi dan akan di teruskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Usaha tersebut dilakukan kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu.

“Antara lain kita mewujudkan Skim Safwa (Skim Rebet Air Percuma) untuk membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah mendapat manfaat air percuma,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor 2012 di sini petang tadi.

Sejak skim tersebut dilancarkan pada Julai 2010, sehingga Julai 2012 lebih RM 6 juta dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.

Rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga melaporkan sebanyak 92 peratus atau 214 kawasan melibatkan 58, 049 unit pangsapuri kos rendah menerima air percuma menerusi Skim Safwa.

Manakala baki 18 kawasan atau 6, 666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.

Katanya lagi, Skim Safwa turut ditambah baik menerusi ‘Lapor dan Dapat’ di mana setiap pangsapuri yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus kepada Syabas.

Bagi penghuni pangsapuri bukan kos rendah pula, mereka perlu memohon daripada Syabas untuk proses migrasi meter pukal kepada meter individu.

“Kerajaan Negeri turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu proses migrasi ini bagi para penghuni pangsapuri bukan kos rendah untuk membantu melancarkan dan mempercepatkan proses tersebut,” ujarnya.

Mengulas saman terbaru yang dikemukakan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan isu pemberian air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri menghormati hak rakyat Selangor untuk mendapatkan tindakan undang-undang.

“Kita akan kaji perkara ini tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai program air percuma ini,” ujar beliau.

Kilang Haram Di Batu 8 Ancam Penduduk

SHAH ALAM 20 SEPT : Kegiatan kilang besi dan aluminium yang beroperasi secara haram di Batu 8, Jalan Bukit Kemuning sejak lima tahun lalu didakwa menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa mereka bukan sahaja tidak tahan dengan bunyi bising malah ia juga mengancam nyawa penduduk kerana kekerapan lori keluar masuk di jalan utama perumahan itu.

Lebih teruk lagi, kilang haram itu dikatakan beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Kini, sebuah lagi kilang haram yang baru dibuka dibahagian belakang rumah mereka sejak tiga bulan lalu menjadikan rumah mereka dihimpit oleh kedua-dua kilang itu.

Malah, penduduk turut berhadapan dengan masalah habuk yang menyebabkan kediaman dan kenderaan mereka berhabuk serta disaluti cat akibat penyemburan cat daripada kilang terbabit.

Penduduk, A.Ragueathi, 32, berkata penduduk berasa rimas dengan pencemaran yang terpaksa dihadapi mereka.

Katanya, sudah banyak kali teguran dibuat ke atas pemilik kilang itu bagaimanapun tidak diendahkan.

“Kami sudah tidak tahan dengan bunyi bising dan habuk disebabkan masalah ini, rumah kami mempunyai kanak-kanak, kami mahu tidur juga tidak lena sebab terlalu bising.

“Kami juga sudah penat kerana banyak kali menegur pemilik kilang ini tetapi mereka buat tidak endah seolah-seolah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu dalam lawatan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei serta Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke kilang terbabit mendapati kilang terbabit didirikan diatas lot kediaman dan beroperasi secara haram.

Kedua-dua kilang itu dikenakan saman dan notis pengosongan bangunan oleh Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan MBSA dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan.

Shuhaimi berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka masih berdegil meneruskan operasi itu.

Kerja Naik Taraf Longkang Batu 8, Shah Alam Masih Dijalankan

SHAH ALAM 20 SEPT : Penduduk di sekitar Jalan Batu Bata dan Taman Bukit Kemuning, Batu 8 di sini diminta bersabar dengan masalah banjir ekoran kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di kawasan itu masih dalam pembinaan.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja menaiktaraf itu.

Katanya, penduduk sebelum ini mendakwa pihak kontraktor tidak menjalankan kerja-kerja dengan sempurna.

“Kerja-kerja pembinaan itu sebenarnya masih belum siap sepenuhnya, ia dijangka siap hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke kawasan terbabit.

Sebanyak RM 1.5 juta diperuntukkan bagi program penyelenggaraan jalan dan longkang di bawah geran MARRIS dan Selangorku untuk menaiktaraf jalan itu.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di Jalan Batu Bata sepanjang 800 meter itu bermula Julai lalu.

Di dalam isu yang berlainan, Shuhaimi berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (prolintas) telah diminta untuk menyelenggara saliran air di bawah terowong Sungai Kandis yang tersumbat.

Saliran tersebut tersumbat dengan dahan pokok dan rumput yang tumbuh di bawah laluan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Banjir tersebut telah melanda sembilan kawasan iaitu Kampung Bukit Naga, Seri Gambut, Bandar Putera, Taman Sri Muda, Kemuning Residence, Bukit Rimau, Kota Kemuning dan Batu 8, Jalan Bukit Kemuning.